Sunday, 25 September 2016

[Jangan jadi pendakwah ‘shok’ sendiri, menangkan kelompok sendiri] - Satu nasihat kepada kelompok Wahhabi - Madkhali

Muhammad Zulsyamini     Sunday, 25 September 2016     09:45     No comments
Oleh: Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Seseorang pendakwah sejati seharusnya tidak begitu berbangga dan seronok apabila mendapat sokongan dan dukungan padu daripada rakan sepemikiran walaupun nyata kebenaran tidak berpihak kepada golongan mereka.

Satu hadith menyatakan, dari 'Abbad bin Katsir As Syami dari seorang wanita yang disebut dengan Fusailah ia berkata, "Aku mendengar Ayahku berkata, "Aku bertanya kepada Nabi s.a.w., “Wahai Rasulullah, apakah termasuk dari asabiyah (fanatik golongan) apabila ada seseorang yang mencintai kaumnya? “Baginda menjawab: "Bukan, akan tetapi yang termasuk asabiyah adalah seseorang menolong kaumnya atas dasar kezaliman." [H.R. Ibn Majah dan Ahmad]

Ini kerana dakwah bukannya bertujuan memenangkan kelompok sendiri. Dari perspektif jihad, ia bertujuan bagi meletakkan kalimah Allah di kedudukan tertinggi. Begitu jugalah dalam berdakwah yang seharusnya menyeru manusia berbalik kepada Islam, bukannya semata-mata menjadi anggota golongan sehaluan pemikiran.

Dakwah atas nama anggota sesebuah pertubuhan atau parti bukan isu lama. Bahkan Al-Quran sendiri menjelaskan: “…dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah, Iaitu orang-orang yang memecah-belahkan agama mereka lalu menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.” [Surah Ar-Rum ayat 31 & 32]

Dukungan dakwah berkelompok selalunya diberikan walaupun dalam bentuk interaksi maya melalui media sosial seperti bilangan ‘likes’ (menyukai), komen dan perkongsian (share). Apabila banyak bilangan ‘like’ atau ‘share’ serta komen positif yang diterima, maka akan semakin galaklah sikap ego dan merasa besar diri walhal hakikatnya walau ratusan ‘like’ yang diterima skalipun, ianya adalah dari kalangan orang yang sama dan sebulu dengannya.

Dari sudut akhlak, mereka yang menganggap diri sendiri sebagai pejuang dakwah sunnah seharusnya tidak memiliki personaliti atau adab yang tidak mencerminkan seruan yang cuba disampaikan.
Sangat dikesalkan apabila mendapati terdapat pihak yang mendakwa merekalah pejuang pembela sunnah namun bertindak di luar batas termasuk kerap menghina, membuat lawak mengejek (troll) dan mengumpat walaupun terhadap mufti yang tergolong dalam kalangan ulil amri.

Walhal ketika membicarakan kesalahan pemerintah (umara’) yang tergolong dalam kalangan ‘ulil amri’, mereka jugalah yang menetapkan aib dan kesalahan ulil amri harus dijaga atau jika tidak, melayakkan orang itu  digelar ‘khawarij’. 

Bukankah antara matlamat utama pengutusan Rasulullah s.a.w. ke dunia adalah bagi menyempurnakan akhlak yang mulia? Ketika Allah memerintahkan Musa dan Harun a.s. berhadapan dengan kezaliman fir’aun, Dia memerintahkan keduanya mengungkapkan kata-kata yang baik kepadanya. Jadi di manakah hikmah kita dalam berdakwah? Walhal apabila dakwah kita ditolak mentah oleh masyarakat, kita yang meraung kecewa.

Kadangkala manusia khususnya orang awam yang serba jahil bukannya menolak apa yang kita bawa, sebaliknya mereka hanya ingin menolak cara pembawaan kita yang kadangkala menampakkan keegoaan dan kesombongan dalam diri.

Apakah erti sunnah yang kita fahami hanya sebagai lawan kepada bid’ah iaitu perbuatan yang diada-adakan dalam beragama semata-mata? Bukankah Islam itu Sunnah dan Sunnah itu Islam?

Kadangkala kita melabel golongan yang tidak sehaluan sebagai berpuak, hizbi, ahli bid’ah dan sebagainya. Bahkan kita meminggirkan selain mengumpat rakan seperjuangan sendiri yang dilihat sudah tidak sehaluan dalam sebahagian hal, Bukankah Allah sangat mencela mereka yang memutuskan silaturrahim selain larangan mengumpat yang jelas dalam agama?

Kita sangat marah apabila terdapat pihak yang melabel kita dengan berbagai gelaran seperti ‘salafi maksum’, ‘madkhalist’, ‘ pengampu pemerintah’ dan sebagainya. Namun lisan dan tangan kita tidak pernah lekang daripada menggelarkan orang  yang tidak sehaluan sebagai ‘Khawarij’, ‘anjing neraka’, ‘hizbi’ (berpuak), ‘ahli bid’ah’ dan sebagainya selain tidak henti-henti menghina dan ingin menjatuhkan 'muka' para ulama' atau mufti.

Kita sepatutnya jangan ‘shok’ atau seronok sendiri dalam berdakwah. Kadangkala kita rasa diri kita terlalu ‘maksum’ sempurna hingga memandang lekeh  golongan yang cuba didakwahi (mad’u). Kita tidak hiraukan penyebab yang menajdikan mad’u menjauhi kita walaupun hakikatnya mereka akur dengan mesej yang kita bawakan.

Cuma bila mereka makin menjauhi, sedikit-sebanyak mesej yang ingin disampaikan itu pun kian dilupai Kita mungkin ‘shok’ apabila merasakan sudah lepas tanggungjawab menyampaikan dakwah selain masih ramai rakan sepemikiran di ‘belakang’ kita. Namun hasil akhirnya, sangat sedikit bahkan langsung tiada. Wallahua’lam.


[621 patah perkataan (tidak termasuk ‘headline’, ‘byline’ serta pernyataan ini]
*Penulis meruakan wartawan sambilan dari NSTP merangkap BEKAS ahli biasa NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). 

PS: 

Memandangkan saya sedang bernaung di The New Straits Times Press (NSTP) (M) sebagai wartawan sambilan di sana, jadi saya tidak dibenarkan menulis ke media lain sebagaimana yang saya lakukan sebelumnya tatkala menghantar artikel rencana ke Sinar Harian.

Dengan itu, saya persembahkan tulisan lama saya ini yang dihantar ke Sinar Harian namun enggan diterbitkan pihak sana, mungkin disebabkan mereka sememangnya tahu bahawa seorang wartawan sambilan terikat dengan kontrak tempatnya berkhidmat yang melarang dia daripada menghantar sebarang penerbitan ke media lain (kecuali majalah).

Tulisan melalui blog saya ini khusus bagi pengikut Salafi-Wahhabi khususnya beraliran Madkhali memandangkan saya adalah sebahagian daripada bekas pengikut golongan berkenaan.

0 comments :

TULAR

PARUH PENGARANG

Pergi Ke Peta Laman

TEST

Like Us

Powered by Blogger.
AGAMA

Followers

DIARY MEMORY

PAPARAN Lebih Banyak » PENDAPAT
PAPARAN Lebih Banyak » DIARI

Company

BERITA

Legal Stuff

PARUH PENGARANG

FAQ's

Blogroll

© 2016 Inteleaks. Dirangka oleh Zulsyamini. Powered by Blogger.