Sunday, 12 June 2016

Bermazhablah Berlandaskan Ilmu, Bukan Membuta Tuli [RENCANA]

Muhammad Zulsyamini     Sunday, 12 June 2016     22:00     No comments


Oleh: Muhammad Zulsyamini bin Sufian Suri

*Artikel ini diterbitkan oleh akhbar Sinar Harian bertarikh 23 Januari 2015 dan disiarkan menerusi laman sesawang akhbar berkenaan di 'link': http://www.sinarharian.com.my/mobile/rencana/bermazhablah-berlandaskan-ilmu-bukan-buta-tuli-1.353297  



SERING kali timbul persoalan mengenai kewajipan bermazhab. Terdapat pihak yang mengatakan individu Muslim wajib memilih hanya satu sahaja mazhab antara mazhab imam empat (Hanafi, Maliki, Syafii dan Hambali) yang muktabar, sedangkan wahyu, baik al-Quran mahupun As-Sunnah tidak pernah menetapkannya.

Fatwa bukan sumber utama

Secara jelas, fatwa seseorang ulama bukanlah sumber utama dalam mempraktikkan agama. Sebaliknya sumber utama dalam beragama adalah al-Quran dan Sunnah.

Adapun peranan ulama adalah sebagai perantara antara masyarakat awam dengan wahyu agar keduanya dapat difahami secara mendalam.

Hal ini berbeza apabila kedua-dua wahyu itu hanya dijadikan sandaran dalam membenarkan perkataan ulama tersebut.

Kebanyakan beranggapan ulama adalah rujukan utama dalam memahami wahyu, sedangkan perintah ALLAH menyuruh supaya nas (wahyu) didahulukan daripada perkataan sesiapa sahaja termasuk ulama.

Buktinya boleh dilihat jelas apabila betapa ramai manusia yang meninggalkan petunjuk wahyu semata-mata bagi mengungguli fatwa ulama sanjungannya biarpun menyedari fatwa tersebut bersalahan dengan wahyu.

Perkara ini persis kisah di mana Nabi Muhammad SAW. apabila menceritakan perihal kaum Nasrani (Kristian) yang dianggap menyembah ulama (rahib dan paderi) mereka apabila mereka masih mentaati perintah ulama, walaupun hal itu menyelisihkan perintah ALLAH SWT. Apa yang ALLAH haramkan dihalalkan rahib, dan apa yang ALLAH halalkan diharamkan pula.

Justeru kerana mengikut secara membuta tuli, mereka pun sesat, ALLAH merujuk perbuatan itu sebagai ‘menyembah’ rahib (ulama) mereka. Kisah ini boleh didapati dalam kitab tafsir antaranya Tafsir Ibn Kathir dalam mentafsirkan firman-Nya dalam Surah At-Taubah : 31.

Sebaliknya, ALLAH memuji sikap meneliti dan mengambil setiap pendapat yang berlainan lagi bercanggah antara satu dengan yang lain dengan mengambil pendapat yang paling baik, berdasarkan firman-Nya: "...maka sampaikanlah berita (berita gembira) itu kepada hamba-hamba-Ku.

Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah ALLAH berikan petunjuk serta mereka itulah orang-orang yang punyai akal." (Surah Az-Zumar: 17 & 18)

Kesalahan ulama

Bukanlah maksud penulis ingin mengatakan ulama Islam khususnya imam mazhab mempunyai sikap yang sama seperti golongan rahib. Namun, imam tersebut menegaskan fatwa dan pendapat mereka yang bersalahan dengan nas (wahyu) sama ada al-Quran mahupun hadis hendaklah dibuang atau ditolak.

Perlu diingatkan selain daripada para nabi dan rasul yang ALLAH pelihara daripada melakukan kesalahan (maksum), ulama juga tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dalam berfatwa mahupun ijtihad.

Di sini juga tidaklah bermaksud mengatakan imam tersebut sengaja berfatwa menyalahi wahyu. Namun perlu diingat zaman pengumpulan hadis berakhir setelah kurun ke-tiga hijrah. Hal ini bermakna kemungkinan seseorang daripada imam tersebut tidak ataupun belum terjumpa hadis yang dijumpai imam lain.

Setelah kewafatan Rasulullah SAW, sahabat bertebaran ke seluruh pelosok dunia bagi tujuan meluaskan dakwah dan berjihad.  Sebagaimana periwayatan hadis daripada Rasulullah SAW dimulakan pada thabaqat (kelompok manusia yang hidup dalam zaman yang sama) mereka iaitu thabaqat sahabat.

Hatta semasa hayat Rasulullah SAW pun, terdapat sahabat Baginda SAW yang berselisih mengenai sesuatu permasalahan hukum disebabkan masih belum mendengar keputusan yang dibuat  Rasulullah SAW secara berhadapan, namun didengari pula secara langsung oleh sahabat yang lain.

Berselisih perihal agama

Sahabat berselisih mengenai permasalahan agama. Contohnya Aisyah RHA pernah berselisih mengenai ratapan terhadap si mati di mana beliau pada mulanya mengingkari hadis yang dibawakan Ibnu Umar dan bapanya, Umar Al-Khatab RA berkenaan mayat yang akan diseksa disebabkan ratapan ahli warisnya dengan mengemukakan dalil daripada Surah Al-Faathir ayat 18 hingga 22, menyimpulkan dosa seseorang tidak dapat dipikul oleh orang lain selain menjelaskan si mati tidak dapat mendengar.

Pengingkaran Aisyah itu hanya berdasarkan ijtihad awal beliau menggunakan ayat al-Quran tanpa terlebih dahulu melalui penerangan yang diberikan Rasulullah SAW secara langsung berkenaan masalah itu.

Begitu juga dengan pengalaman Imam As-Syafii di Baghdad, fatwa yang beliau keluarkan berbeza dengan fatwanya setelah penghijrahan beliau ke Mesir. Fatwa beliau sewaktu di Baghdad dikenali sebagai Qaul Qadim manakala fatwanya di Mesir dikenali sebagai Qaul Jadid.

Di sisi ulama bermazhab Syafii, Qaul Jadid (baru) lebih diutamakan berbanding Qaul Qadim sekiranya berlaku pertentangan antara kedua-duanya.

Situasi ini berlaku disebabkan semasa di Baghdad, beliau berguru dengan tabi’in lain yang mungkin hanya menerima periwayatan hadis daripada sahabat-sahabat Nabi SAW yang berhijrah dan menetap di Baghdad. Namun setelah berhijrah ke Mesir, beliau berguru pula dengan ulama lain yang memungkinkan beliau baru pertama kali mendengar hadis daripada sahabat lain yang berhijrah lalu menetap di Mesir.

Jika dilihat, ada kalanya ulama yang menisbahkan diri bermazhab dengan mazhab tertentu, sebagai contoh Imam An-Nawawi yang bermazhab Syafii pun dalam sebahagian perkara menyelisihi pandangan Imam Syafii, sebagai contoh dalam isu samak (sertu) apabila menyentuh babi.

Berbeza dengan padangan Imam Syafie, Imam An-Nawawi mengambil pendekatan adalah tidak wajar mengqiaskan kenajisan anjing dengan kenajisan babi disebabkan tiadanya wahyu yang menyatakan kewajipan melakukan sertu andai menyentuh babi, berbeza dengan anjing yang mempunyai dalil yang jelas.

Perlu difahami

Mazhab seharusnya difahami hanya sebagai sebuah disiplin ilmu (manhaj) untuk kita memahami al-Quran dan Sunnah. Ia tidak lebih daripada sekadar pemudah cara bagi masyarakat awam yang serba jahil memahami hukum syarak.

Analoginya adalah seperti formula atau rumusan matematik. Seseorang boleh sahaja mencari jawapan kepada sesuatu permasalahan matematik dengan pelbagai jalan. Namun dengan adanya formula, ia lebih memudahkan pengira dalam memperoleh jawapan dengan ringkas.

Dalam mendefinisi pengikut mazhab, secara ringkas, ia dapat dibahagikan kepada dua iaitu ittiba‘ iaitu mengikuti pendapat seseorang mujtahid (mazhab) dengan mengetahui dasar hukum pendapatnya itu dan juga taklid iaitu mengikuti seseorang dan mengambil pendapatnya tanpa mengetahui sumber pengambilannya secara membuta tuli.

Taqlid bukanlah bukan ittiba’ biarpun kedua-duanya membawa maksud “mengikut” kerana ittiba‘ ialah mengikuti seseorang kerana kejelasan dalil yang dibawakan, sementara mereka yang bertaklid mengikut secara membuta tuli, bahkan sebahagiannya menegah daripada mengikuti selain yang dipegangnya walaupun nyata yang diikutinya itu tidak menepati kebenaran.

Di Malaysia, kita berpegang kepada mazhab Syafii, khususnya dalam bab ibadat dan munakahat atau disebut juga sebagai fardu ain.

Namun dalam sebahagian perkara jelas memperlihatkan kerajaan mahupun umat Islam di Malaysia tidak hanya terikat kepada mazhab Syafii, seperti keabsahan jual beli yang tidak melalui akad, bayaran zakat dalam bentuk mata wang dan banyak lagi.

Mazhab boleh kekal jika direkodkan dalam karya bertulis (kitab). Berdasarkan pandangan yang rajih, mazhab fiqh bagi akidah Ahli Sunnah wal Jamaah (Sunni) tidak hanya terbatas kepada empat aliran. Profesor Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam fatwanya menjelaskan pada dasarnya terdapat banyak lagi mazhab yang mewakili sunni, antaranya mazhab Az-Zahiri, Sufyan As-Tsauri, At-Thabari, Al-‘Auza’I dan banyak lagi.

Namun disebabkan mazhab tersebut tidak mempunyai ramai pengikut di samping kurangnya usaha mazhab itu dinaqalkan melalui penulisan kitab, maka ia pun semakin lepas dimamah zaman di samping adanya faktor lain seperti tekanan pemerintah.

Seseorang tidak dibolehkan menuduh sesiapa sahaja dalam kalangan orang awam sebagai sesat kerana perbuatannya menyalahi pandangan mazhab yang dianutinya.

Tidak melazimi berpegang kepada sesuatu mazhab dalam bab fardu ain sepertimana bukanlah bermakna menolak pandangan mazhab lain.

Pendirian ini dipegang hanyalah berdasarkan kemampuan seseorang untuk beramal dalam ibadatnya apabila dia meyakini fatwa yang didapati daripada fatwa ulama yang bukan daripada mazhab ikutannya lebih menepati dalil.

Hukum asal berpegang kepada mazhab tidaklah wajib, namun bagi selain mujtahid, beramal dengan fatwa mujtahid (mazhab) adalah wajib sekiranya tiada lagi jalan lain untuk mengetahui hukum syarak melainkan dengan mengikuti mazhab.

MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
(Pelajar tahun akhir Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) UiTM Shah Alam)

0 comments :

TULAR

PARUH PENGARANG

Pergi Ke Peta Laman

TEST

Like Us

Powered by Blogger.
AGAMA

Followers

DIARY MEMORY

PAPARAN Lebih Banyak » PENDAPAT
PAPARAN Lebih Banyak » DIARI

Company

BERITA

Legal Stuff

PARUH PENGARANG

FAQ's

Blogroll

© 2016 Inteleaks. Dirangka oleh Zulsyamini. Powered by Blogger.