Sunday, 14 February 2016

Mengapa anak muda Nabi s.a.w. kaitkan dengan golongan Khawarij? [RENCANA]

Muhammad Zulsyamini     Sunday, 14 February 2016     04:37     No comments
Oleh: Muhammad Zulsyamini Sufian Suri




Acapkali kedengaran label “Khawarij” ditujukan kepada mana-mana kumpulan yang berjuang  bagi menjatuhkan pemerintah Muslim yang sah.  Masyarakat pun menjadi keliru dalam menafsirkan apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan “Khawarij hinggakan ada yang mempersoal, “wujud lagikah golongan Khawarij pada zaman moden ini?”

Khawarij secara umum adalah sebuah ideologi atau pembawaan cara fikir dan boleh juga diterjemahkan sebagai kepercayaan atau akidah yang muncul di zaman awal perkembangan Islam. Golongan ini amat sinonim dengan kepercayaan bahawa setiap Muslim yang melakukan dosa besar selain syirik dianggap kafir, kekal dalam neraka buat selama-lamanya.

Tidak cukup dengan itu, golongan ini juga amat dikenali dengan pejuangan menjatuhkan kerajaan atau kekuasaan pemerintah Muslim yang sah.  Bahkan sejarah juga mencatatkan bahawa khalifah Uthman Al-Affan dan Ali bin Abi Talib (r.huma) mati dibunuh oleh pemuka-pemuka yang mempolopori akidah Khawarij tatkala anggapan mereka bahawa kedua-dua khalifah agung tersebut tidak berhukum dengan hukum Allah.

ANAK MUDA DAN KHAWARIJ

Jiwa muda sangat mudah memberontak. Maka tidak hairanlah mengapa begitu ramai para pemuda yang dilihat sangat ekstrim dalam menuntut sesuatu, misalnya menuntut pemerintah melunaskan hak rakyat bahkan menuntut agar sang pemerintah meletak jawatan. Tidak kurang juga betapa banyak kajian yang membuktikan minda pemuda begitu senang dipengaruhi tatkala usia mereka yang baru mencecah alam kematangan yang hakiki (dewasa).

Jiwa anak muda juga sangat mudah dipengaruhi emosi. Kadangkala, bahkan selalunya tindakan ‘orang muda’ lebih mendahukukan emosi mereka sebelum memikirkan kesan dan akibat terhadap sesuatu perkara yang ingin mereka buat. Lihat sahaja kepada situasi bergolak yang berlaku di Timur Tengah di mana kebanyakan golongan pemuda yang menyertai protes tersebut terdiri daripada bekas pelajar di negara-negara Barat yang mencanangkan kelebihan sistem demokrasi di samping terdapat dalam kalangan pemuda yang menjadi pencetus kepada revolusi-revolusi itu seperti eksekutif muda Google, Wael Ghonim yang menjadi perintis revolusi di Mesir melalui siber sewaktu era kejatuhan presiden Hosni Mubarak. Justeru, apakah keadaan yang berlaku sekarang di negara-negara itu lebih baik keadaannya berbanding zaman pemerintahan sebelumnya? Fikirkan.

Tatkala Rasulullah s.a.w. mengkhabarkan kemunculan kaum Khawarij, baginda juga menyifatkan mereka sebagai golongan yang berusia muda di samping mempunyai fikiran yang cetek (bodoh), namun cuba mengungkapkan perkataan sebaik-baik manusia.  Dalam riwayat lain baginda juga menyifatkan amal ibadat yang dilakukan mereka mengalahkan kuantiti ibadat yang dlakukan oleh sahabat-sahabt baginda seperti solat, puasa dan bacaan Al-Quran, namun bacaan Al-Quran mereka tidak melepasi halkum mereka (maksudnya tidak masuk ke dalam hati).

Ironinya, istilah ‘pemuda’ sangat banyak diungkapkan pihak tertentu dalam menghasut pemuda-pemudi agar turut sama menjatuhkan pemerintah, berdalihkan nas-nas yang begitu banyak menceritakan kelebihan usia muda yang memiliki sifat-sifat fizikal  idealistik secara optima seperti mempunyai kekuatan fizikal di tahap tertinggi. Nas-nas yang menceritakan perihal akidah Khawarij yang akan banyak terkesan dalam minda anak muda dilihat cuba disembunyikan. Di sini bukanlah bermaksud ingin menafikan kelebihan  golongan pemuda, cuma cara penyampaian itu yang diliihat agak berat sebelah. Nas-nas kelebihan pemuda cuba ditonjolkan dalam mendorong pemuda memberontak, namun nas berkenaan ideologi Khawarij yang akan banyak terkesan di minda pemuda cuba dipandang enteng bahkan cuba disembunyi. Lebih malang sekiranya perkara ini diketahui ‘orang agama’ namun cuba menyembunyikannya. Moga laknat Allah tertimpa buat para penyembunyi kebenaran.

Umur yang masih muda, jika tidak dilandasi dengan akal  atau pemikiran yang sempurna kelak menimbulkan perbuatan dan tingkah laku yang aneh, sebagai contoh mendahulukan pendapat mereka sendiri daripada petunjuk yang diberi  oleh Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. telah pun mengajar umatnya apakah yang harus dilakukan apabila berhadapan dengan pemerintah Muslim yang zalim. Antaranya, hendaklah pemerintah itu masih ditaati dalam hal-hal yang makruf (kebajikan) di samping hanya mengingkari perintah yang berunsur maksiat kepada Allah dan haram memberontak ke atasnya.

Mengingkari maksiat yang dilakukan pemerintah tidak wajar disamakan dengan perlakuan memberontak. Maksiat diingkari dengan cara tidak mengkuti perintah agar bermaksiat itu. Adapun sekiranya pemerintah itu memerintah agar melakukan perkara kebajikan (makruf) yang lain, ia tetap wajib ditaati biarpun di masa lain sang pemeritah itu juga memerintahkan perkara maksiat.

Bahkan pernah terjadi di zaman pemerintahan Mu’awiyah bin Abi Sufyan ketika mana diadukan kepada Abdullah bin Amr Al-Asr bahawa pemerintahan Muawiyah dikatakan memerintahkan rakyatnya bermaksiat kepada Allah, maka jawab Ibn Amr: "(Hendaklah masih) kamu taat kepadanya dalam ketaatan kepada Allah dan ingkarlah kepadanya dalam kemaksiatan kepada Allah!" [H.R. Muslim]

GOLONGAN SESAT TIDAK AKAN MENGAKUI MELOPOR KESESATAN.

Secara umum, rata-rata masyarakat Islam di dunia pada zaman ini mengaku menganut fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ). Statistik menunjukkan populasi penganut ASWJ atau sering disebut “Sunni”  mencatatkan lebih 80% populasi masyarakat Islam di dunia, selebihnya iaitu sebanyak kurang daripada 20% berfahaman Syiah dan lain-lain.

Timbul persoalan, adakah kesemua lebih 80% daripada populasi umat Islam di dunia ini benar-benar menganut fahaman Sunni yang sebenar-benarnya, walhal Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan bahawa umatnya akan berpecah kepada 73 firqah (golongan) dan hanya satu firqah yang akan terselamat daripada neraka manakala selebihnya, iaitu sebanyak 72 golongan akan ke neraka. Tatkala mensyarahkan hadith ini, para ulama sebulat suara menetapkan bahawa satu golongan yang terselamat (Firqatun Najiyyah) itu adalah ASWJ atau Sunni.  Soalnya, adakah 72 golongan yang Rasulullah s.a.w. maksudkan itu hanya terdiri daripada minoriti yang jumlahnya kurang daripada 20% populasi umat Islam di dunia?

Perhatikan kepada isu pengganas IS (Daulah Islamiyah) atau nama lainnya, ISIS yang rancak diperkatakan belakangan ini. Begitu ramai ulama dunia Islam yang membantah kumpulan pengganas yang mendakwa ingin memartabatkan Islam ini. Tidak kurang juga bantahan para ulama tersebut diselitkan dengan label “Khawarij” terhadap kumpulan itu.

Sebagaimana disebutkan sebelumnya, sejak zaman Khulafa' Rasyidin lagi telah wujud golongan Khawarij yang mempunyai pendirian seakan sama dengan kumpulan "Negara Islam" (IS) ini di mana zahirnya mereka ini mahu menegakkan syariat Allah, namun hakikatnya telah jauh tersasar daripada agama. Kepercayaan-kepercayaan IS yang mudah mengkafirkan manusia yang melakukan dosa besar (selain Syirik) selain memerangi atau membunuh umat Islam dalam kalangan kumpulan pejuang Islam yang lain namun membiarkan (meninggalkan penentangan terhadap) kuffar penyembah berhala di samping gemar melakukan provokasi terhadap pemerintah Islam dilihat mirip kepada pegangan Khawarij. Dengan demikian menjadikan kumpulan pengganas itu kini digelar sebagai “Khawarij moden”.

Maka sekiranya ditanyakan kepada pelopor kumpulan IS adakah mereka berfahaman Khawarij, sudah tentu mereka menafikannya dengan anggapan merekalah golongan yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w  sebagai “Thaifah Mansurah” (golongan yang mendapat pertolongan) yang sentiasa dipelihara oleh Allah dari sebarang bahaya daripada golongan manusia yang mendustakan dan menyelisihi mereka. Maka benarlah firman Allah dalam surah Al-Kahfi ayat 103 dan 104: “Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya? Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan di dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah perbuat sebaik-baiknya.”

Terdapat berbagai teori mengenai kewujudan IS (ISIS) atau Negara Islam (Islamic State), seperti teori yang menyatakan ianya hanya watak yang dimainkan Amerika Syarikat (U.S.) dalam menyuburkan lagi fenomena Islamphobia di mata masyarakat dunia di samping mempunyai agenda merancakkan peperangan yang berlaku di Timur Tengah dengan harapan dapat memonopoli hasil minyak.

Tidak kurang pula ada yang beranggapan bahawa IS sememangnya didalangi umat Islam yang telah diracuni pemikiran Khawarij. Sejarah umat Islam tidak dapat lari dari membincangkan perihal kaum Khawarij. Biarpun tiada walau suatu gerakan Islam pun yang memakai nama-nama buruk sebegitu yakni nama-nama mazhab-mazhab akidah yang muncul di zaman awal Islam pada zaman ini, namun pemahaman akidah-akidah sesat sebegitu masih terkesan dan terpahat dari generasi ke generasi seterusnya dengan membuat penjenamaan (rebranding) yang lain.

Maka dengan itu, dapatlah dikatakan, tidak ada seorang pun umat Islam di dunia ini menisbahkan diri mereka kepada nama golongan-golongan sesat. Semua menggangap diri sendiri berada di atas kebenaran.  Bahkan Syiah juga mendakwa mazhab mereka mengikuti sunnah Nabi s.a.w.  serta ahli keluarga (ahli bait) baginda lalu menemplak Sunni yang mereka katakan sebagai pengikut sunnah para sahabat, bukannya sunnah nabi. Lihat sahaja contoh lain seperti pemikiran Al-Ahbash yang ideologi asalnya diambil daripada golongan Jahmiyah yang muncul di zaman awal perkembangan Islam yang menafikan sifat-sifat Allah.


SIFAT PENGIKUT DAJJAL ADA PADA KHAWARIJ

InsyaAllah semua sedia maklum akan perkhabaran daripada Rasulullah s.a.w. perihal Al-Masih Dajjal Al-Kazzab yang bakal muncul di akhir zaman untuk merosakkan keimanan manusia di mana hadith-hadith bertaraf mutawatir jelas menceritakan sifat  para pengikut Dajjal yang mahukan 'syurga' yang dibawa oleh Dajjal di mana di dalamnya tercurah segala kenikmatan walaupun hakikat sebaliknya, syurga Dajjal itu adalah neraka Allah S.W.T.

Jika diimbas apakah syarat yang harus dipatuhi supaya orang ramai boleh masuk kedalam syurga Dajjal itu, tidak lain syaratnya adalah harus mengakui Dajjal sebagai Allah (tuhan). (Na'uzubillahi min zaalik) Tidakkah hal ini juga boleh dilihat sebagai simbolik terhadap penggadaian nilai akidah seorang Muslim bagi mengecapi habuan dunia? Semoga Allah tidak menggolongkan kita bersama-sama dengan halnya pengikut-pengikut Dajjal kelak.

Sebagai contoh, disebabkan ingin mencapai kesenangan duniawi seperti pendidikan percuma, mansukh PTPTN, turun harga minyak dan seumpamanya, terdapat individu khususnya dari kalangan pemuda yang sanggup menggadai pegangan akidah dengan menyertai upacara seperti candlelight vigil, menyanjung pemikiran athies (golongan yang tidak percaya kewujudan tuhan) seperti ideologi komunis, memperjuang kebebasan untuk murtad dan sebagainya.

Di sana terdapat pula hadith yang menyatakan bahawa Dajjal akan muncul di tengah-tengah penipuan golongan Khawarij yang mana golongan Khawarij amat terkenal dengan perjuangan mereka menjatuhkan serta memberontak terhadap pemerintahan Muslim. Sabda Rasulullah s,a,w, yang bersumber daripada Ibn Umar r.huma: "Akan muncul kelompok yang membaca Al Qur'an, tetapi tidak sampai melewati halkum mereka. Bila mana kelompok tersebut muncul, generasi mereka berhak untuk dipotong." Ibnu Umar berkata, "Aku mendengar Rasulullah S.A.W, bersabda "Setiap kali muncul kelompok itu, maka generasi mereka berhak untuk dipotong" lebih daripada dua puluh kali, sehingga keluarnya Dajjal di tengah-tengah penipuan mereka." [ H.R Ibn Majjah dan Ahmad, dinyatakan Hasan oleh Al-Albani.]

Justeru, sebagai penutup, ingin ditegaskan khususnya kepada anak muda agar berhentilah daripada terhasut dengan pelbagai spekulasi buruk terhadap pemerintah Muslim yang masih belum dapat dibuktikan kesahihannya. Jangan hanya terikut-ikut dengan seruan yang sememangnya bertujuan bagi menghuru-harakan keadaan umat Islam. Berhentilah daripada menjadi alat kepada anasir-anasir luar yang semamngnya berniat dalam memperalatkan umat Islam sediri dalam menjatuhkan kekuatan Islam daripada dalam.

Sesungguhnya Islam menjadi kuat kerana kesepaduan yang dibina atas akidah yang sahih di samping diterajui ketaatan kepada pemimpin biarpun pemimpin yang Zalim. Kata Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya imam (pemimpin) diibaratkan sebagai benteng, di mana orang ramai akan berperang mengikutinya dan berlindung dengannya. Maka jika dia (sang pemerintah) memerintah dengan berlandaskan taqwa kepada Allah serta keadilan, maka dia akan mendapat pahala. Namun jika dia berkata sebaliknya maka dia akan menanggung dosa.” [H.R. Al-Bukhari dari Abu Hurairah r.a.] 

Yakinlah bahawa Allah tidak hanya memenolong agamanya melalui orang salih, tetapi Dia juga adakalanya menjadikan orang-orang “fajir” iaitu orang yang melazimi maksiat kepada Allah sebagai medium untuk menguatkan agama Islam, sebagaimana hadis: “Dan (sesungguhnya) boleh jadi Allah menolong agama ini melalui seseorang yang berdosa"[H.R. Al-Bukhari & Muslim] sebagaimana zaman kegemilangan Islam di awal perkembangannya seperti yang terjadi di zaman pemerintahan khalifah Al-Ma’mun, Hajjaj Ibn Yusuf dan seumpama dengannya. Wallahua’lam.



0 comments :

TULAR

PARUH PENGARANG

Pergi Ke Peta Laman

TEST

Like Us

Powered by Blogger.
AGAMA

Followers

DIARY MEMORY

PAPARAN Lebih Banyak » PENDAPAT
PAPARAN Lebih Banyak » DIARI

Company

BERITA

Legal Stuff

PARUH PENGARANG

FAQ's

Blogroll

© 2016 Inteleaks. Dirangka oleh Zulsyamini. Powered by Blogger.