Saturday, 30 January 2016

Zikir menari: Jangan ikut ulamak menyimpang. [Rencana]

Muhammad Zulsyamini     Saturday, 30 January 2016     06:58     No comments
Oleh: Muhammad Zulsyamini bin Sufian Suri



Isu berzikir sambil menari mula hangat diperkatakan belakangan ini apabila pihak Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang diwakili pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin menyatakan bahawa perbuatan itu diharuskan selagi tidak melampaui batas.

Biarpun begitu menerusi laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 15 April 2015 bertajuk: “Islam larang zikir sambil menari- Jakim”, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha mewakili JAKIM menegaskan bahawa perbuatan berzikir sambil menari adalah sesuatu yang bercaggah lagi menyeleweng daripada ajaran Islam serta aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah dengan merujuk kepada laman web e-fatwa menerusi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kali Ke-48 pada 3 April 2000.

Masyarakat khususnya orang awam pun menjadi keliru. Manu satukah yang benar? Diharuskan atau haram? Ataupun ianya suatu khilaf yang memerlukan umat Islam berlapang dada dalam menerima kedua-dua pandangan?

Umumnya, semua sepakat bahawa perbuatan berzikir sambil sambil menari-nari tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Adapun dalil yang digunapakai oleh pihak yang mengharuskan perbuatan itu pun terlalu umum serta tidak secara jelas membenarkannya.

Kisah (hadis) yang disandarkan pula, walaupun jika dikatakan ianya sahih namun tidak lari daripada penyelewengan makna. Umpamanya kisah yang disandarkan kepada bapa saudara nabi iaitu Ja’far bin Abu Talib  yang dikatakan menari di hadapan Rasulullah s.a.w. sambil memuji baginda sejurus mendengar baginda s.a.w. memuji Ja’far.  

Para ulama’ menyimpulkan bahawa tindakan Ja’far itu yang berjalan dengan sebelah kakinya diangkat merupakan tradisi orang Habsyah (Ethopia) sewaktu menghadap raja mereka dan ianya dilakukan oleh Ja’far hanya sebagai refleksi spontan yang tercetus daripada rasa gembira sejurus dipuji oleh kekasih Allah itu. Jauh sekali Ja’far bermaksud melakukannya atas niat ingin berzikir atau berselawat kepada baginda dalam keadaan seperti itu.

Di samping itu terdapat juga dalil-dalil lain yang digunapakai oleh golngan ‘pro-zikir menari’ dengan membawakan dalil seperti kisah orang Habsyah yang bermain pedang dan perisai sambil memuji Nabi selain berdalilkan perkataan “Raqas’ yang diterjemahkan sebagai menari. Namun semuanya tidak dapat lari daripada penafsiran menyimpang apabila perbuatan itu dilakukan bukan dengan maksud beribadah secara khusus bagi menghadirkan rasa ‘zuk’ dalam hati. Sebaliknya hal itu tidak lebih daripada sekadar tindakan memuji baginda sebagai tanda penghormatan sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan orang pada hari ini dalam majlis-majlis atau persembahan yang dihadiri  orang tertinggi kenamaan. Jauh sekali untuk tujuan ibadah.

Jikalau pun dikatakan hadith-hadith sebagaimana dibawa di atas adalah sahih, mungkin kita kehairanan mengapakah Rasulullah s.a.w. hanya melihat sahabat-sahabatnya melakukan sedemikian rupa (berzikir sambil ‘menari’) namun baginda sendiri tidak beramal apatah lagi menyeru sahabat-sahabatnya yang lain agar meniru perbuatan sahabat-sahabat yang dikatakan telah berzikir sambil menari itu tadi? Apatah jika tarian zikir itu disulami dengan alunan muzik sepertimana yang dibuat rata-rata manusia pada hari ini.

Sedangkan baginda pernah bersabda: “Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan atas dasar perintah kami, maka hal (amalan) itu tertolak.” [H.R. Bukhari dan Muslim] [1] Begitu juga peringatan beginda terhadap perkara-perkara baru yang direka dalam urusan agama serta tidak bersumber daripada perintah baginda dengan sabdanya: “Barangsiapa yang masih hidup selepas (kematian)-ku, maka kalian akan dapati perselisihan yang begitu banyak. Maka berpeganglah kalian dengan sunnahku dan sunnah para khalifah yang mendapat petunjuk (Khulafa’ Ar-Rasyidin). Genggamlah ia dengan gigi garham serta berwaspadalah kalian daripada perkara baru yang diada-adakan  kerana sesungguhnya setiap perkara baru adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah kesesatan.[H.R. Abu Dawud dan At-Tirmidzi]. [2]

Perkara keduniaan pula perlu dibezakan dengan hal peribadatan (akhirat) di mana bagi urusan keduniaan, manusia khususnya umat Islam bebas memilih untuk melakukan apa jua percubaan yang mendatangkan hasil serta mafaat yang besar buat kepentingan sejagat selagimana tidak melanggar ketetapan-ketetapan Syara'.

Manakala dalam urusan keagamaan khususnya hal yang bersangkutan peribadatan, wajib bagi umat Islam menyerahkan urusan tersebut kepada Allah melalui perantaraan utusan-Nya, Muhammad S.A.W. Manusia selain daripada Rasul yang diutuskan tidak diberi autoriti untuk mengubah sesuatu yang telah Allah tetapkan biarpun dengan alasan diterima logik akal disebabkan manusia terhijab daripada mengetahui perkara ghaib.

Hal ini berdasarkan kisah daripada hadith mengenai perkahwinan benih kurma di mana ketika Nabi s.a.w. datang ke Madinah, para penduduk Madinah sedang mengahwinkan bunga (pokok) kurma agar dapat berbuah dengan lebih baik. Maka baginda pun bertanya: “Apa yang sedang kalian kerjakan?” Mereka menjawab: “Daripada dahulu kami selalu melakukan hal ini.” Baginda S.A.W. membalas: “Seandainya kalian tidak melakukannya, nescaya hal itu lebih baik.

Maka mereka pun meninggalkan daripada terus mengahwinkan benih kurma, dan ternyata kurma-kurma itu tidak berhasil malah berguguran. Lalu hal itu diadukan kepada baginda S.A.W. dan baginda pun bersabda: “Sesungguhnya aku hanyalah manusia biasa, oleh itu, apabila aku memerintahkan sesuatu daripada urusan deen (agama) kalian, maka ambillah (laksanakanlah) dan jika aku memerintahkan sesuatu kepada kalian berdasar pendapatku semata-mata (iaitu dalam hal keduniaan), maka ketahuilah bahawa sungguh aku hanyalah manusia biasa." [H.R. Imam Muslim] [3]

Sedangkan di antara adab berzikir seperti yang ditekankan dalam Al-Quran adalah mengingati Allah 
dalam keadaan menzahirkan kerendahan hati dan diri serta dengan tidak mengeraskan suara sebagaimana Firman-nya: “Dan sebutlah (nama) Tuhanmu di dalam hatimu dengan merendahkan diri serta rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara di waktu pagi dan petang serta janganlah kamu termasuk daripad kalangan orang-orang yang lalai. “ [Al-A’raaf ayat 205]

Maka terbatallah dakwaan yang menyatakan bahawa dibolehkan zikir sambil menari disebabkan perbuatan itu tidak pernah dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. Bahkan sewaktu meninggalkan kota Baghdad untuk berhijrah ke Mesir, Imam Syafi’ sendiri menyfatkan golongan sebegitu sebagai kaum Zindiq tatkala melihat mereka disibukkan dengan perbuatan itu lalu berpalig daripada memahami Al-Quran. [Siyar A’lam An-Nubala oleh Imam Az-Zahabi). Kaedah Feqah juga menyatakan bahawasanya hukum asal bagi setiap sesuatu berkaitan peribadatan adalah haram melainkan terdapatnya nas dalil yang membolehkannya.

Kesimpulannya, sebelum beramal dengan sesuatu yang dibawakan, telitilah terlebih dahulu daripada mana perkara itu berasal. Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka selidiklah dari siapa kamu mengambil agama kamu [ Imam Ibn Sirrin]. Maka selidiklah terlebih dahulu ustaz/ ulamak atau mana-mana ilmuan agama yang ingin dijadikan pembimbing kita. Jangan sampai penampilan ‘Islamik’ menipu minda kita walhal dia sebenarnya penyeru ke neraka Jahannam. Hal inilah yang pernah disabdakan Rasulullah s.a.w. dalam satu hadith:

“... (Akan ada) iaitu suatu kaum yang memimpin tanpa mengikuti petunjukku. Kamu mengenali mereka namun lantas kamu ingkari". Aku  (Hudzaifah Ibn Yaman) bertanya kembali:  "Apakah setelah kebaikan (yang terdapat di dalamnya kekotoran (dakhanun) itu) akan timbul lagi keburukan?". Baginda menjawab: "Ya, iaitu para pendakwah (da’ie) yang mengajak ke pintu neraka Jahannam.”  [H.R. Bukhari dan Muslim] [4]


 NOTA KAKI

[1] مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

[2] فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

[3] عَنْ طَلْحَةَ بن عبيد الله قَالَ مَرَرْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقَوْمٍ عَلَى رُءُوسِ النَّخْلِ فَقَالَ مَا يَصْنَعُ هَؤُلَاءِ فَقَالُوا يُلَقِّحُونَهُ يَجْعَلُونَ الذَّكَرَ فِي الْأُنْثَى فَيَلْقَحُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَظُنُّ يُغْنِي ذَلِكَ شَيْئًا قَالَ فَأُخْبِرُوا بِذَلِكَ فَتَرَكُوهُ فَأُخْبِرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِذَلِكَ فَقَالَ إِنْ كَانَ يَنْفَعُهُمْ ذَلِكَ فَلْيَصْنَعُوهُ فَإِنِّي إِنَّمَا ظَنَنْتُ ظَنًّا فَلَا تُؤَاخِذُونِي بِالظَّنِّ وَلَكِنْ إِذَا حَدَّثْتُكُمْ عَنْ اللَّهِ شَيْئًا فَخُذُوا بِهِ فَإِنِّي لَنْ أَكْذِبَ عَلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

[4] قَوْمٌ يَهْدُونَ بِغَيْرِ هَدْيِي تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ قُلْتُ فَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ



0 comments :

TULAR

PARUH PENGARANG

Pergi Ke Peta Laman

TEST

Like Us

Powered by Blogger.
AGAMA

Followers

DIARY MEMORY

PAPARAN Lebih Banyak » PENDAPAT
PAPARAN Lebih Banyak » DIARI

Company

BERITA

Legal Stuff

PARUH PENGARANG

FAQ's

Blogroll

© 2016 Inteleaks. Dirangka oleh Zulsyamini. Powered by Blogger.