Saturday, 30 January 2016

Ruwaibidhah: Si lekeh yang mengimpikan jawatan dan sanjungan [Rencana]

Muhammad Zulsyamini     Saturday, 30 January 2016     07:40     No comments
Oleh: Muhammad Zulsyamini bin Sufian Suri, pelajar tahun akhir Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) UiTM Shah Alam



   Dengan kepelbagaian isu yang timbul dewasa ini, masyarakat awam dihimpit dengan pelbagai spekulasi, tidak kira samada yang disokong fakta mahupun sekadar omongan kosong yang lantas membuatkan kebanyakan mereka masih terkapai-kapai dalam mencari kebenaran yang terselindung.

Hal ini tidaklah menghairankan kerana semakin dekatnya dunia kepada kehancuran, fitnah atau ujian menimpa umat bak hujan yang mencurah-curah membasahi rumah-rumah, atau dengan kata lain, manusia pada masa ini berada dalam zaman fitnah. Islam sebagai sebuah agama yang universal seharusnya dijadikan landasan dalam memilih saluran penyampaian berita. Sebagaimana maklum, Islam sentiasa mengajar umatnya agar menyemak serta meneliti dahulu kesahihan sumber sesebuah berita .

Maka jika dilihat kepada sumber agama Islam pun, ketelitian dalam pengambilan nas-nas agama khususnya berupa Al-Hadith sangat dititik beratkan ulama’ terdahulu hinggakan sesuatu hadith dianggap Mardud (tertolak)  hanya kerana dalam rantaian perawi (sanad)-nya terdapat walau seseorang yang dianggap Mubham (tidak dapat dikenalpasti identitinya) ataupun Majhul (tidak dikenali latar belakangnya) yang menyebabkan hadith itu bertaraf Dhaif (lemah).

Tidak kurang juga apabila semakin dekatnya dunia kepada saat kehancuran (kiamat), maka semakin berleluasanya perkara-perkara buruk yang dianggap sebagai baik oleh orang keramaian, seakan dunia ini sudah terbalik. Umpamanya, orang jujur dikatakan penipu, pengkhianat dikatakan amanah dan begitulah sebaliknya, sebagaimana hadith:

Akan datang tahun-tahun yang penuh kedustaan yang menimpa manusia. Pendusta dipercayai, lalu orang  jujur didustakan, amanah diberikan kepada pengkhianat lalu orang yang jujur dikhianati, dan (golongan) Ruwaibidhah turut berbicara.” Lalu baginda (Rasulullah s.a.w.) ditanya, “Apakah Ruwaibidhah itu?” Baginda menjawab: “Orang-orang bodoh yang mengurusi urusan awam.” [H.R. Ibn Majah, Ahmad]

Selain mengisyaratkan hal yang terjadi menjelang kiamat, hadith di atas juga memperingatkan manusia agar tidak sewenangnya berbicara tanpa ilmu apabila baginda s.a.w. memperingatkan kepada kita akan wujudnya golongan Ruwaibidhah yang tidak sekadar gemar berbicara, malah sering mengimpikan agar dapat mengurusi urusan awam walaupun menyedari diri mereka ketandusan ilmu-ilmu berkenaan urusan yang ingin dipelopori.

Jika direnungkan, dapatlah kita melihat sendiri betapa ramainya manusia zaman ini yang bercita-cita untuk menjadi juara dalam segenap isu yang timbul. Tidak sekadar apa yang dikatakan sebagai pahlawan papan kekunci (keyboard warrior) atau ‘cybertroopers’, malah penyakit ingin menjadi “juara masyarakat” ini kian menular hatta dalam kalangan mereka yang tidak berpelajaran  apatah lagi mempunyai kepakaran dalam isu yang diperkatakan.

Dengan kata lain, golongan Ruwaibidhah ini hakikatnya lekeh lagi bodoh, namun mereka sedaya upaya cuba menonjolkan diri di khalayak samada melalui perbicaraan mahupun perbuatan mereka yang mahu mengurusi urusan awam. Mereka ini dapatlah dikatakan sebagai orang-orang kecil  yang tidak berilmu namun berbicara permasalahan umat yang sangat besar.

Dalam sebuah hadith Rasulullah S.A.W. juga bersabda:
“ Tetapi akan aku ceritakan kepadamu tentang tanda-tandanya (tanda Kiamat), iaitu … dan apabila orang-orang yang dahulu telanjang (pakaiannya compang-camping) serta berkaki ayam lantas menjadi pemimpin manusia. Maka itulah di antara tanda-tanda telah dekatnya hari Kiamat” [H.R. Muslim]

Sebagai contoh, dengan hanya bermodalkan simpati orang ramai atas tiket “dizalimi” penguasa, penyakit mendambakan gelaran “juara penentang kezaliman” semakin menjadi kegilaan tatkala simpati mereka diraih orang awam yang  mudah terpengaruh lagi terhasut. 

Apa yang menghairankan, selain menghasut, si penghasut itu juga seringkali dilihat terkehadapan seakan mahu menjadi juara dalam isu-isu tertentu biarpun si penghasut masih belum bergelar graduan, bahkan sebahagian darinya ada yang dibuang daripada IPT, atau dengan kata lain, mereka sebenarnya tidak pun memiliki pengetahuan apatah lagi kepakaran dalam hal yang diperkatakan.

Mereka tiada ilmu berkenaan ekonomi, namun berbicara seperti malah lebih lagi daripada seorang pakar ekonomi. Mereka tiada ilmu mendalam berkenaan permasalahan umat atau hukum hakam agama, namun apabila melontarkan pandangan melebihi fatwa ulama besar, dan begitulah seterusnya. Mereka bercakap dan cuba menjadi juara pada sesuatu yang mereka tidak miliki pengetahuan mengenainya.

Malang sungguh apabila orang-orang hina dan rendah sebegini diberi kedudukan yang tinggi melebihi orang-orang yang baik sehingga urusan masyarakat berada di tangan orang-orang bodoh dan hina. Situasi ini tidaklah menghairan jika kita dapat menghubungkait hadith di atas dengan puluhan lagi hadith-hadith yang menceritakan bagaimana kebodohan menular dalam masyarakat setelah Allah mencabut ilmu dengan mematikan para ulama’ menjelang hampirnya kiamat.

Sedangkan Rasulullah s.a.w. menyuruh umatnya agar diam menetap di rumah atau bersembunyi di lereng-lereng bukit mahupun di rumah pada saat bermaharajalelanya fitnah. Namum manusia atau umat Islam secara khususnya pada hari ini berkelakuan sebaliknya. Lebih malang apabila sebahagian besar daripada mereka turut melaungkan slogan perjuangan Islam, sedang tindakan mereka bercanggah dengan suruhan agama yang menganjurkan agar menjauhi fitnah.

Dalam meneliti kesahihan sesuatu berita atau spekulasi yang pelbagai pula, Allah berfirman: “Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; kalau mereka kembalikan hal itu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (penguasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu, tentulah kamu menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja di antara kamu.” [Surah An-Nisaa’ ayat 83] Jelas pada ayat ini pengingkaran ke atas mereka yang terburu-buru mencari perkhabaran sebelum mendpat kepastian daripada penguasa lalu bertindak menyebarkannya sedangkan boleh jadi ianya tidak benar.

Syaikh Abdur Rahman As-Si’di rahimahullah dalam Tafsir beliau pada ayat di atas menyebutkan bahawa ianya merupakan pengajaran daripada Allah kepada orang beriman supaya apabila datang berita samada baik mahupun buruk yang berkaitan kemaslahatan umum kaum Muslimin, hendaklah jangan tergesa-gesa ianya disebarkan namun hendaklah perkhabaran itu dikembalikan kepada pihak berkuasa (Ulul Amri). Sekiranya mereka (pihak berkuasa) melihat adanya kemaslahatan  untuk dihebohkan maka ianya harus dihebohkan, dan sekiranya mereka melihat adanya maslahat dalam menyembunyikannya, maka hendaklah ia jangan disebarkan.

Justeru, sebagai umat Islam, hendaklah kita sentiasa menahan keinginan kita dalam menebar luaskan sesuatu berita atau spekulasi yang masih belum dipastikan keabsahannya oleh penguasa kerana selain dibimbangi ianya dapat menjejaskan suatu pihak secara zalim, ia juga dapat menghindari diri kita sendiri daripada cercaan serta ejekan orang ramai seandainya didapati spekulasi yang dibuat itu tidak menepati sangkaan seandainya kebenaran di sebalik spekulasi-spekulasi tersebut tersingkap juga pada akhirnya.

Sungguh! emosi yang diekspressikan tanpa didasari ilmu yang benar hanya merugikan semua pihak. Lihatlah kepada negara-negara khususnya di Timur Tengah yang bergolak atas nama revolusi dengan cara demonstrasi. Berapa banyak  negara-negara tersebut seperti Mesir, Iraq,Libya, Bahrin dan sebagainya yang keadaannya sekarang lebih baik berbanding dahulu iaitu sebelum pemerintah sebelumnya digulingkan dengan cara demonstrasi? Nescaya kita akan dapati tiada walau satu pun yang keadaanya lebih baik berbanding sebelumnya.

Sesungguhnya kemungkaran dicegah berdasarkan tahapnya iaitu melalui perbuatan, lisan dan juga hati. Mencegah melalui perbuatan adalah buat mereka yang berautoriti atau diberi kuasa melaksanakan undang-undang. Adapaun melalui perbuatan adalah dengan cara menasihati bagi yang berkredibiliti dan sekiranya tidak mampu juga, barulah tahap terendah diambil kira, iaitu melalui pengingkaran hati terhadap sesebuah kemaksiatan serta kezaliman.

Akhir kalam, penulis menyeru supaya sama-sama kita menghidari daripada menjadi golongan Ruwaibidhah yang hanya tahu lantang bersuara serta mengemukakan idea, namun hakikatnya lekeh dari sudut ilmu yang dimiliki. Usah lebih mempercayai segala  janji manis pihak tertentu yang dilihat jelas mengemukakan tuntutan yang bercanggah dengan prinsip Islam sebagainya dengan meninggalkan orang Islam yang cenderung kepada pemerintah Islam  . Akhirnya apabila sudah mendapat kuasa, mulalah pihak-pihak seperti itu menuntut pula hak mereka yang masih tidak mampu dipenuhi oleh pemerintah baru yang naik  lagi ingin melaksanakan dasar Islam pada waktu itu.

Justeru, hendaklah kita sentiasa mengikut saranan Nabi s.a.w. agar sentiasa berkata baik, atau jika tidak ada perkara baik yang mahu diperkatakan, maka berdiam diri adalah lebih baik. Harapan penulis, jangan sesekali menjadikan orang bodoh dikenali ramai. Bak kata orang, “stop making stupid people famous”.

[1200 patah perkataan (tidak termasuk ‘headline’, ‘byline’, serta pernyataan ini]




0 comments :

TULAR

PARUH PENGARANG

Pergi Ke Peta Laman

TEST

Like Us

Powered by Blogger.
AGAMA

Followers

DIARY MEMORY

PAPARAN Lebih Banyak » PENDAPAT
PAPARAN Lebih Banyak » DIARI

Company

BERITA

Legal Stuff

PARUH PENGARANG

FAQ's

Blogroll

© 2016 Inteleaks. Dirangka oleh Zulsyamini. Powered by Blogger.