Sunday, 17 January 2016

[RENCANA] Hudud perlukan muafakat, bukan sekadar laungan!

Muhammad Zulsyamini     Sunday, 17 January 2016     01:49     No comments
Oleh: Muhammad Zulsyamini bin Sufian Suri, mahasiswa tahun akhir Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) UiTM Shah Alam.


Isu hudud kembali hangat diperkatakan belakangan ini apabila Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 yang mengandungi hukum hudud dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan baru-baru ini.

Jika selama ini isu tersebut dikatakan menjadi platfom bagi PAS  dalam menjatuhkan lawannya, UMNO dengan mengkafirkan mereka yang dikatakan menolak perlaksanaan hukum itu, isu tersebut dilihat bakal menjadi penanda aras dalam menyatukan ahli-ahli serta para penyokong kedua-dua parti yang didominasi oleh Melayu- Islam itu apabila sebahagian ahli UMNO dilihat memberi respon positif terhadap pindaan tersebut.

Bagaimanapun, tidak kurang juga persepsi buruk timbul yang mengaitkan ‘tsunami hudud’ yang berlaku dalam kalangan ahli UMNO itu terjadi disebabkan keinginan memenangi hati pemimpin PAS yang saban hari dilihat turut menerima tekanan daripada sekutunya dalam Pakatan Rakyat (DAP) dan PKR dengan harapan supaya PAS bersetuju membentuk kerajaan perpaduan bersama UMNO.

Hal ini disebabkan kepercayaan rakyat terhadap UMNO dilihat semakin merosot dengan pelbagai kontroversi yang dikaitkan dengan pemimpin-pemimpin UMNO.  Memandangkan UMNO memperjuangkan nasib Melayu-Bumiputra, justeru penerimaan PAS yang juga banyak diterajui Melayu-Islam untuk membentuk kerajaan perpaduan dilihat sebagai peluang keemasan untuk menguatkan kembali sokongan Melayu-Islam terhadap parti itu dalam perjuangan memelihara hak bangsa Melayu di samping ingin mengekalkan kedudukan.

Seruan-seruan ke arah perpecahan merupakan slogan-slogan masyarakat Arab Jahiliyah. Pernah terjadi satu kisah di mana seorang lelaki daripada kalangan Muhajirin memukul punggung seorang Ansar hingga menyebabkan sahabat Ansar itu terlalu marah lalu berseru memanggil kaumnya (kaum Ansar) dengan maksud membangkitkan kambali semangat kesukuan. Perbuatan itu juga turut dilakukan sahabat Muhajirin yang memukul punggung orang Ansar itu tadi dengan maksud yang sama sepertimana lelaki Ansar itu dengan berseru “Wahai kaum Muhajirin!”

Akhirnya apabila berita itu sampai kepada nabi s.a.w., baginda lantas berujar: “Mengapa seruan-seruan Jahiliyah masih kalian teruskan?” Sesudah itu baginda menyambung: “Tinggalkanlah seruan (seperti) itu kerana hal itu adalah tercela.” [H.R. Al-Bukhari].

Justeru, hudud di Malaysia tidak boleh dicapai sekiranya PAS dan UMNO  masih enggan bersatu dan masih mengambil jalan berpecah. Lihatlah kepada sirah Nabi s.a.w. menyatukan Miuhajirin dan Ansar setibanya baginda di Madinah dalam peristiwa Hijrah. Sebelum itu lagi, dakwah Nabi s.a.w. sebelum berhijrah juga telah berjaya mempersaudarakan puak Aus dan Khazraj yang akhirnya membentuk golongan Ansar.

Sepanjang 13 tahun di Mekah, syariat hudud masih belum diturunkan kerana pada masa itu, dakwah Nabi s.a.w. tertumpu pada aspek akidah mengesakan Allah. Sesudah negara Islam Madinah bertapak, barulah hukuman itu disyariatkan iaitu sesudah Rasulullah s.a.w. berjaya mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar atas asas kekuatan akidah yang diterapkan sepanjang 13 tahun di Mekah.

Ironinya, apabila terdapat orang Islam yang mengajak kepada kedamaian dan kesepaduan,  ajakan tersebut ditentang habis-habisan. Sangkaan atau persepsi buruk ditujukan kepada penyeru kedamaian sesama Islam namun apabila terdapat golongan yang jelas memperseda lagi tidak mahukan hukum Allah itu terlaksana, mereka pula dijadikan wali dan teman akrab.

Islam juga menuntut agar umatnya sentiasa bersatu padu serta melarang daripada berpecah. Mungkin akan ada suara-suara sumbang yang mengatakan bahawa ajakan kepada kerajaan perpaduan di antara UMNO dan PAS hanya modal politik UMNO untuk mengekalkan kekuasaan setelah kepercayaan rakyat terhadap sebahagian pemimpin UMNO kian pudar dengan isu-isu kontroversi yang melibatkan penyelewengan. Sangkaan seperti itu hendaklah dijauhi kerana  Islam juga menuntut agar sentiasa berbaik sangka terhadap saudara seagama.

Dengan itu, ambillah iktibar daripada sirah nabi kita. Sesungguhnya pada setiap tindakan Rasulullah s.a.w. mempunyai hikmah yang tersurat mahupun tersirat, sebagaimana firman Allah: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu, (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat serta dia banyak mengingati Allah.”[Surah Al-Ahzab ayat 21]

Adakah kita hanya tahu menyalahkan sesetengah pihak yang dituduh sebagai mengingkari  hukum tuhan, sedangkan usaha-usaha kearah itu dalam mebentuk permuafakatan sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi s.a.w. tidak mahu dilaksanakan?

[599 patah perkataan (tidak termasuk ‘headline’, ‘byline’, serta pernyataan ini]



0 comments :

TULAR

PARUH PENGARANG

Pergi Ke Peta Laman

TEST

Like Us

Powered by Blogger.
AGAMA

Followers

DIARY MEMORY

PAPARAN Lebih Banyak » PENDAPAT
PAPARAN Lebih Banyak » DIARI

Company

BERITA

Legal Stuff

PARUH PENGARANG

FAQ's

Blogroll

© 2016 Inteleaks. Dirangka oleh Zulsyamini. Powered by Blogger.