Friday, 15 January 2016

Pemuda Ini Menegaskan Mengapa UiTM bukan universiti awam tercorot

Muhammad Zulsyamini     Friday, 15 January 2016     01:08     No comments
 *Berikut merupakan luahan seorang pemuda yang baru melangkah ke alam pekerjaan berdasarkan pengalamannya yang dicedok daripada tulisan di blog kendaliannya beralamat di: http://mzulsyamini.blogspot.my/2016/01/uitm-universiti-melayu-tercorot.html

Oleh: Muhammad Zulsyamini bin Sufian Suri
*Maaflah. Sekadar gambar hiasan. Sekadar gambar yang disunting (edit) menggunakan perisian Adobe Photoshop dan jubah tersebut bukanlah jubak istiadat konvokesyen milik UiTM.

Kadang-kadang terfikir sejenak. Atas dasar apakah UiTM seakan dianggap antara universiti awam tercorot di dalam negara ini sehinggakan sangat kurang para lepasan SPM berkeinginan melanjutkan pengajian tertiari ke UiTM? Benarkah UiTM univerisiti tercorot untuk budak malas, lembap mahupun bodoh?

Adakah disebabkan bilangan pelajar universiti ini yang sangat banyak disebabkan mempunyai puluhan cawangan dalam negara? Adakah kerana syarat kemasukan ke sana yang tidak berapa ketat. Atau hanya sekdar universiti ini eksklusif buat Melayu dan Bumiputra dan yuran pengajiannya tidak setinggi yuran pengajian di univerisiti awam lain?

Ya mungkin UiTM masih belum diiktiraf sebagai APEX atau universiti yang menumpukan sepenuhkan kepada penyelidikan. Mungkin disebabkan itu UiTM tidak dilihat se-gah universiti lain. Hakikatnya pencapaian para pelajar UiTM bukanlah kepalang. Antaranya sebagaimana berlaku baru-baru ini bila mana pelajar UiTM merangkul kejuaraan debat antara universiti-universiti dunia hinggakan kelab debat pelajar UiTM diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia (no.2).

Begitu juga sebelum ini negara digemparkan dengan pencapaian graduan UiTM bernama Siti Aisah Kamarulzaman dalam Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) yang menduduki tempat ketujuh terbaik dalam dunia!

Menerusi pengalaman saya sendiri sebagai pelajar lepasan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam, graduan bagi fakulti-fakulti berteraskan komunikasi dan pengajian media atau 'mass comm' sangat memandang hormat kepada lepasan mass comm UiTM Shah Alam. Ya pada mulanya saya memandang hal ini hanya sebagai mitos rekaan para pensyarah untuk menyedapkan hati para pelajar di fakulti tempat saya belajar bila mana dikatakan program 'mass comm' yang ditawarkan UiTM menduduki kedudukan teratas di antara sekian banyak universiti hinggakan graduan 'mass comm' UiTM menjadi rebutan para majikan yang mahu mengambil pekerja.

Perkara ini berlaku semasa kali pertama saya menghadiri temuduga meminta kerja. Ketika itu terdapat dua orang wanita bersama saya di ruangan menunggu untuk ditemuduga. Ketiga-tiga kami berasal daripada bidang yang sama iaitu komunikasi massa dan kewartawanan. Saya daripada UiTM manakala dua orang wanita itu masing-masing daripada UPM dan USIM.

Ketika saya memperkenalkan saya daripada UiTM, mereka kelihatan takjub sambil bertanyakan lebih banyak mengenai 'mass comm' UiTM. Ketika di bilik temuduga pun, salah seorang daripada dua panel penemuduga yang kebetulan mengenali ketua program kewartawanan di fakulti saya bersembang dengan rakan panelnya mengenai latar-belakang pengajian saya. Seingat saya antara keistimewaan yang dikatakan panel berkenaan adalah mengenai cara-cara penggunaan kamera rakaman video yang diajarkan kepada pelajar 'mass comm' UiTM namun tidak di fakulti 'mass comm' universiti lain. Alhamdulilah memang saya tahu dan pernah menggunakan kamera berdefinisi tinggi itu yang menggunakan 'tape' atau dipanggil 'rushes' semasa menjalankan projek akhir sewaktu di semester empat dan lima.

Itu baru satu cerita. Cerita kedua pula, salah seorang kenalan kerja saya juga lepasan UPM yang turut berkhidmat untuk rakan sekerjanya sewaktu dia menjalani latihan industri di UKM Bangi pernah meminta nombor telefon beberapa orang kenalan saya yang sudah lama dalam industri kewartawanan dan beberapa pensyarah bidang kewartawanan UiTM untuk bertindak selaku panel pengucap bagi program yang akan dianjurkan pihaknya. Tatkala saya bertanyakan kepadanya mengapa tidak sahaja pensayarah dari UPM atau UKM sendiri dijemput, maka dia turut menyatakan bahawa secara umumnya para pelajar 'mass comm', sama ada di UPM, UKM dan lain-lain universiti pun sangat menghormati pelajar atau fakulti 'mass comm' UiTM agar program yang dikatanya akan dianjurkan pihaknya itu mendapat sambutan hangat para pelajar fakulti 'mass comm' UKM.

Satu lagi perkara yang ingin saya persoalkan mengenai pandangan rendah terhadap UiTM adalah mengenai penguasaan bahasa Inggeris. Pada mulanya saya juga agak terkejut tatkala mendengar sendiri luahan beberapa kenalan saya mengenai bahasa pengantar yang digunakan dalam sesi pembelajaran di universiti-universiti tertentu. Merka menyatakan di sana masih banyak universiti-universiti awam yang masih menggunakan bahasa ibunda (Bahasa Melayu) dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) sedangkan sudah begitu lama UiTM menetapkan dasar bahawa sebahagian program yang ditawarkan di universiti tersebut menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar antara pelajar dan pensyarah (walaupun hakikatnya tidaklah sepanjang sesi pembelajaran kami 'speaking' English) melainkan sewaktu pembentangan dan sebagainya.

Walaupun saya mengetahui isu ini jugalah yang digunapakai untuk menunjukkan bahawa UiTM hanya 'cakap tak serupa bikin' bila mana kelihatan memperjuangkan bahasa asing (bahasa Inggeris) namun dalam masa sama mensyaratkan universiti tersebut khusus buat bangsa Melayu dan Bumiputra, namun ada relevennya dasar itu dipraktikkan iaitu supaya gradua-gradan UiTM lebih terkehadapan dalam menempuhi zaman bekerja yang memerlukan pekerja menguasai beberapa jenis bahasa selain bahasa ibunda khususnya bahasa Inggeris.

Ternyata di waktu sekarang, masalah penguasaan bahasa Inggeris menjadi penghalang bagi sesetengah graduan yang kurang menguasainya mendapat tempat di hati majikan.

Alhamdulillah sebagai seorang berbangsa Melayu dan lepasan UiTM, aku sudah tidak malu LAGI untuk mengaku sebagai anak lepasan UiTM. Jangan pandang kami sebelah mata. Itu sahaja yang kami harapkan selaku mahasiswa dan graduan UiTM.

Hasan Al-Banna menyebutkan: "Bangsa yang membangun perlu merasa bangga dengan bangsa mereka." Maka berbanggalah kita sebagai graduan atau pelajar UiTM bangi membangunkan semula identiti kita daripada ternoda dek perkataan dan tohmahan yang ditujukan kepada kita seperti "Budak UiTM tak laku", UiTM universiti tercorot kerana tiada persaingan dengan bangsa asing dan sebagainya.

Wallahua'lam.

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Pelajar lepasan UiTM Shah Alam dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media.




0 comments :

TULAR

PARUH PENGARANG

Pergi Ke Peta Laman

TEST

Like Us

Powered by Blogger.
AGAMA

Followers

DIARY MEMORY

PAPARAN Lebih Banyak » PENDAPAT
PAPARAN Lebih Banyak » DIARI

Company

BERITA

Legal Stuff

PARUH PENGARANG

FAQ's

Blogroll

© 2016 Inteleaks. Dirangka oleh Zulsyamini. Powered by Blogger.