Sunday, 17 January 2016

Kit anti-histeria- Islam diperdagang, Kristian jadi ikutan. [ULASAN UMUM]

Muhammad Zulsyamini     Sunday, 17 January 2016     09:24     No comments
Oleh: Muhammad Zulsyamini bin Sufian Suri, Mahasiswa tahun akhir Fakulti Kounikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) UiTM Shah Alam



Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan penemuan baharu oleh penyelidik daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkenaan sebuah kit yang dikatakan berkesan dalam membanteras masalah histeria khususnya dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah.

Kit yang diberi nama Kit Anti-Histeria itu dijual dengan harga RM8,750 setiap satu berserta kursus tutorial mengenai cara penggunaannya dan dikatakan telah berkesan menyelesaikan masalah histeria di sebanyak 11 institusi pengajian.

TIADA UNSUR TAHYUL

Menurut Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan UMP, Mahyuddin Ismail dilaporkan sebagai berakata kit itu terdiri daripada enam bahan utama iaitu kayu penyepit, cecair lada hitam, cecair asid formik, 'ammonia inhalants' serta air yang telah dibacakan ayat-ayat Al-Quran.

Dalam pada itu, laporan akhbar pada 30 April 2015 melaporkan Naib Canselor UMP, Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim sebagai berkata bahawa kit anti-histeria tersebut dibangunkan sebagai satu produk yang mempunyai potensi besar untuk dipasarkan memandangkan statusnya yang patuh syariah, bebas daripada sebarang perkara yang berbentuk metafizik, tahyul atau khurafat yang boleh menyesatkan akidah.

JUAL AGAMA

Exco pemuda UMNO, Fathul Bari Mat Jahaya dalam laman Twitter menyindir perbuatan itu dengan membandingkannya dengan perubatan alternatif Islam yang wujud di zaman Nabi s.a.w yang hanya menggunakan ruqyah (jampi) yang berasaskan Al-Quran dan Hadis baginda.

Kelarisan jualan air-air jampi mungkin sekali disebabkan individu yang menjadi 'tekong' kepada produk-produk seumpama itu memahami hadith yang menceritakan perlakuan Nabi s.a.w. yang membenar malah bersama-sama sahabatnya memakan hasil upah daripada ruqyah.  Upah jampi tersebut diberikan oleh seorang ketua suku di sebuah kampung setelah anaknya telah  dijampi (diruqyah) oleh seorang sahabat disebabkan  terkena sengatan haiwan berbisa.

Namun perlu difahami bahawa di sana terdapat perbezaan antara mengambil upah dan juga memperdagang. Umpamanya, jika kita meruqyah seseorang, lalu orang yang diruqyah itu memberikan upah kepada kita, maka boleh sahaja kita mengambilnya.

Hal ini berbeza dengan seseorang yang menjadikan ayat-ayat Al-Quran mahupun Sunnah Nabi s.a.w. sebagai barang dagangan apatah lagi ianya dijanjikan dengan khasiat-khasiat tertentu seperti dijadikan pelaris jualan yang kebiasaannya dilakukan ke atas air minuman atau makanan lalu disandarkan khasiatnya terhadap selain daripada penyembuhan penyakit, seperti untuk mencerdaskan minda, menolak bala', mencari jodoh, pelaris kedai dan sebagainya.

As-Sunnah pun memberitahu bahawa ruqyah adalah perkara yang tidak disukai sebagaimana hadith yang menceritakan perihal 70 000 dalam kalangan umat Muhammad s.a.w. yang bakal memasuki syurga tanpa Hisab di mana Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadith yang panjang:

"(70 000 orang itu) adalah mereka yang tidak memberi ruqyah dan tidak meminta ruqyah, serta tidak bertathayyur (meramal), dan mereka hanya bertawakkal (berserah diri) kepada Tuhannya."[H.R. Bukhari & Muslim (no.101) dari Ibn Abbas r.huma.]

Selanjutnya di dalam hadith yang sama, Buraidah bin Hushaib Al Aslami diriwayatkan berkata: " Tidak diperbolehkan memakai ruqyah (jampi) kecuali disebabkan terkena bisa kalajengking atau yang serupa dengannya". Sementara itu dinyatakan juga bahawa Imran bin Hushain radliallahu 'anhuma berkata: " Tidak ada ruqyah (jampi-jampi dari Qur'an dan Sunnah) kecuali dari penyakit 'Ain atau demam".

Akibatnya, nampaklah unsur agama ini diniagakan terang-terangan apabila rawatan histeria, disampuk jin dan sebagainya dikenakan dengan caj yang begitu tinggi. Masyarakat pun menjadi malas untuk mempelajari doa-doa pelindung dan ruqyah untuk diri sendiri, sebaliknya bergantung harap sepenuhnya terhadap orang-orang tertentu dan kit seperti itu. Lebih mendukacitakan sekiranya kes-kes sebegitu dibawakan kepada dukun atau bomoh yang boleh mengundang dosa syirik yang tidak akan diampunkan sama sekali .

Apa yang boleh penulis katakan adalah jika diteliti akan hadith-hadith Nabi perihal jampi (Ruqyah), kesemuanya mengisyaratkan bahawa ruqyah hanya dalam situasi apabila individu yang dijampikan itu mengalami sakit/ penyakit, sedangkan tidak ada satu pun dalil hadith yang mengisyaratkan bahawa Nabi s.a.w. dan para sahabat menjampi keatas bejana atau takungan yang berisi air lalu air itu dijanjikan dengan pelbagai khasiat seperti dapat mencerdaskan minda, menjadi penawar hati apatah lagi dapat membuang bala kesialan.

Tujuan ruqyah dalam Islam juga bukanlah untuk mencari keuntungan duniawi. Syaikh Salih bin Fauzan Al-Fauzan berfatwa bahawa menjadikan profesyen meruqyah sebagai pekerjaan tetap (bukan sampingan) adalah dilarang (haram) kerana peruqyah seharusnya melayani masyarakat yang memerlukan bantuannya atas dasar amar makruf nahi munkar (mengajak kepada kebaikan, mencegah kemungkaran) dengan memerangi cara syaitan dan jin yang mengganggu manusia, semata-mata bagi memperoleh keredhaan Allah.


IKUT TRADISI KRISTIAN

Jika dilihat kepada kepercayaan dalam agama Kristian, mereka juga mempercayai sebilangan barang dapat melindung mereka daripada makhluk-makhluk halus. Umpamanya barangan yang diperbuat daripada perak mampu melindungi mereka daripada serigala jadian, bawang putih dan lambang salib (dikenali sebagai silver bullet) yang dapat melindungi mereka daripada pontianak (vampire) dan sebagainya.

Disebabkan itu lah, kit yang mempunyai fungsi sama sebagaimana kit-anti histeria 'milik' umat Islam telah sedia wujud dalam agama kristian.


Kit anti-histeria versi agama Kristian

Dengan itu, sebilangan ahli akademik membantah penjualan kit tersebut dengan membawakan dalil-dalil laragan menyerupai kaum kafir. Begitu juga dalam banyak hadis Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kalian (umat Islam) akan mengikuti jejak kaum-kaum sebelum kalian, sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta hinggakan apabila mereka masuk ke lubang biawak sekalipun, kamu akan mengikuti mereka. Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, adakah mereka (kaum) itu adalah Yahudi dan Nasrani (Kristian)?" Rasulullah s.a.w. lantas mengatakan: "Siapa lagi kalau bukan mereka?" [H.R. Bukhari dan Muslim]. 

INGIN TOLONG ORANG ATAU JUAL AGAMA?

Pertikaian timbul apabila barangan yang dijadikan alat mengubati histeria itu dijual terlalu mahal sedangkan sekiranya kes-kes histeria dirujuk kepada para pengamal pengubatan Islam seperti Darus Syifa' di bawah kelolaan Dr. Haron Din, bayaran yang dikenakan hanya seikhlas hati, malah percuma sahaja.

Apa yang dilarang adalah 'memeras' atau mengsyaratkan pesakit dengan bayaran tertentu apatah lagi jika bayarannya terlalu mahal. Bagi pesakit yang kurang berkemampuan, orang yang meruqyah harus menerima pesakit mereka dengan seikhlas hati, tanpa mengharapkan bayaran walau sesen pun melainkan jika si pesakit memang berhasrat membayarnya seikhlas hati.

Ruqyah seharusnya dilakukan hanya atas dasar membantu sesama manusia khususnya umat Islam. Seorang peruqyah seharusnya berniat berbuat baik dengan ruqyahnya bagi manfaat kaum Muslimin serta mengharapkan pahala daripada Allah atas pertolongan yang diberikan kepada orang yang sedang kesusahan (pesakit) dengan menghilangkan bahaya. Daripada itu wajarlah andai peruqyah tidak sesekali meminta habuan atas pertolongannya melainkan ianya ditawarkan sendiri oleh pesakit seikhlas hati.

Jauh daripada itu,  para ulama' juga menjelaskan bahawa upah daripada perbuatan meruqyah hanya halal diambil sekiranya upah itu hanya atas dasar kos pengubatan/ perawatannya sahaja dan bukan atas dasar bacaan mantera ruqyah walaupun berupa ayat-ayat Al-Quran yang dikenakan kepada pesakit.

Malah terdapat mereka yang mempelajari ilmu-ilmu pengubatan alternatif sendiri mengakui bahawa harga yang diletakkan pada produk berkenaan sangat tidak munasabah biarpun mengakui barangan yang terkandung dalam kit berkenaan sememangnya berupaya mengusir serta membunuh makhluk halus.

Sedangkan kes-kes histeria selalunya berlaku akibat tekanan mental seseorang seperti kemurungan. Disebabkan itulah sebelum ini, antara cara dalam mengubati histeria adalah melalui terapi dan sesi kaunseling yang sedia ada di setiap sekolah di samping mengambil langkah diplomasi termasuk `berdialog' dan  membuat 'perjanjian' dengan makhluk halus tersebut.

Wallahua'lam.

0 comments :

TULAR

PARUH PENGARANG

Pergi Ke Peta Laman

TEST

Like Us

Powered by Blogger.
AGAMA

Followers

DIARY MEMORY

PAPARAN Lebih Banyak » PENDAPAT
PAPARAN Lebih Banyak » DIARI

Company

BERITA

Legal Stuff

PARUH PENGARANG

FAQ's

Blogroll

© 2016 Inteleaks. Dirangka oleh Zulsyamini. Powered by Blogger.