Sunday, 17 January 2016

[HUKUM] CETAK ROMPAK- Mengundang murka dan azab Allah

Muhammad Zulsyamini     Sunday, 17 January 2016     09:43     No comments
 Nota:
Esei ini telah diterima bagi melayakkan penulis mendapat saguhati berjumlah RM 200 tunai berserta sijil di bawah pertandingan menulis esei Cakna Produktiviti anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi bulan November 2013



Ditulis oleh: Muhammad Zulsyamini bin Sufian Suri 

Sejak dahulu masalah cetak rompak berada di tahap yang membimbangkan dan sudah semestinya masalah ini sedikit sebanyak telah menjejaskan produktiviti khususnya dalam industri media cetak. Manakan tidaknya, apabila hasil karya yang dicipta oleh seseorang atau suatu kelompok dengan mudah ‘dicuri’ serta dirompak oleh manusia lain yang tidak menyumbang sebarang keringat mahupun idea dalam pembikinan karya tersebut dengan cara memperoleh dapatan hasil keuntungan daripada sesebuah karya itu tanpa mendapat sebarang keizinan daripada pihak produksinya.

Maka, tidak hairanlah mengapa di setiap halaman buku atau apa sahaja media bercetak mahupun dalam filem-filem yang dihasilkan tertera ungkapan  ‘Hakcipta Terpelihara’ atau ‘ Copyright Reserve’ dan di bawah pernyataan itu, tertera ungkapan  selanjutnya yang berbunyi:  “Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian artikel, illustrasi dan isi kandungan buku/ karya ini dalam apa juga bentuk dengan apa juga cara samada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman atau cara lain sebelum mendapat izin bertulis.”

Secara mudah, apa jua karya seperti filem, cakera padat digital (VCD), buku atau apa sahaja karya yang boleh dicetak termasuk dalam kategori “harta intelek” di mana harta itu secara batinnya dimiliki oleh pencipta pertamanya biarpun ia sesudah itu diterbitkan oleh pihak lain dikeranakan dengan daya usaha serta intelek pencipta pertama itulah, maka wujudnya karya itu. Oleh yang demikian, amatlah tidak wajar apabila harta yang pada asalnya dimiliki oleh orang lain dengan mudah dirampas akan hak keuntungannya apabila muncul pihak lain yang menfaatkan hasil karya itu bagi mengaut keuntungan peribadi dengan tanpa mendapat keiziznan daripada pencipta asalnya.

Dari sudut perundangan Islam, perbuatan ini sememangnya diharamkan oleh para sarjana Islam, di antaranya adalah mantan mufti bagi kerajaan Arab Saudi, Syaikh Abdul ‘Aziz bin ‘Abdullah bin Baz yang berfatwa akan keharaman membuat salinan sesuatu program atau media jika pemiliknya tidak memberikan kebenaran, beralasan kepada firman Allah didalam surah Al-Baqarah ayat yang ke-188 yang menyatakan tegahan Allah s.w.t. dari memakan harta orang lain dengan cara yang batil (salah).

Cuba renungkan. Dengan bersusah payah seseorang atau sebuah badan produksi menghasilkan sesuatu karya (filem , buku, dan sebagainya), namun dengan wujudnya ‘lanun-lanun’ cetak rompak ini dengan mudah ‘menyapu’ segala keuntungan yang seharusnya didapati oleh pihak produksi atau individu tersebut. Wang hasil keuntungan yang seharusnya diperoleh pihak produksi atau individu pertama yang mencipta sesebuah karya itu daripada jumlah penonton di pawagam atau pembeli cakera padat secara original serta karya lainnya yang dicetak secara sah dikaut sebegitu sahaja oleh pihak-pihak ‘lanun’ yang tidak bertanggungjawab ini. Tidakkah ini dapat dianggap sebagai sarana dalam mengurangi harta manusia di samping memakannya secara batil?, di mana Allah s.w.t.  berfirman dalam menceritakan perihal kaum nabi Syu’aib a.s:

“Dan (Syuaib berkata): "Wahai kaumku, cukupkanlah takaran dan timbangan dengan adil, dan janganlah kamu merugikan manusia terhadap hak-hak mereka dan janganlah kamu membuat kejahatan di muka bumi dengan membuat kerosakan.” [Surah Hud ayat ke-85]

Tidak sekadar mencetak, malah terdapat dalam kalangan individu yang dapat dianggap telah melakukan aktiviti yang mirip kepada perbuatan mencetak tanpa keizinan iaitu dengan cara sebagai contoh, melakukan sebarang bentuk tayangan filem atau apa sahaja dengan mengenakan bayaran pada kadar tertentu bagi sesiapa yang berhasrat menonton filem yang ditayangkan itu tanpa meminta izin dari pihak produksinya. Apabila pihak asing itu sudah ‘menarik’ penonton ke tayangan haram mereka itu, maka tidakkah syarikat produksi yang telah membuat perjanjian atau kontrak dengan pihak berdaftar di mana mereka telah diberi keizinan membuat tayangan tersebut mengalami kerugian apabila keuntungan yang sepatutnya mereka peroleh lesap dikebas pihak yang menjayakan tayangan haram itu?

Seringkali dapat dilihat bahawa pihak yang melakukan tayangan haram sebegini adalah pertubuhan-pertubuhan yang sering mengatas namakan program kebajikan bagi menjayakan sesuatu projek atau majlis untuk tujuan mengumpul dana. Demi Allah, alasan sebegini tidak ubah sepertimana kisah lagenda Robin Hood yang mencuri daripada orang kaya bagi membantu yang miskin, di mana perbuatannya mencuri tetap salah di sisi undang-undang manapun di dunia ini, sedang dalam banyak ayat Al-Quran Allah memerintahkan agar jangan sesekali mencampurkan antara perkara hak dan batil, di mana Dia berfirman:

“Dan janganlah kamu campur adukkan antara yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.” [Surah Al-Baqarah ayat ke-42]

Jika dikatakan sama antara keduanya pada pandangan pembaca sekalian, maka jika para ‘lanun’ cetak rompak dianggap sebagai perompak atau pencuri, justeru apa pula yang ingin dikatakan terhadap para pemungut hasil tayangan filem tanpa mendapat keizinan penerbit itu? Maaf jika kata-kata penulis ini bakal membuatkan segelintir orang yang melakukan hal sedemikian rupa tersinggung. Namun Allah, sang Maha penerima taubat hamba-Nya yang merintih, dan adalah mudah bagi Allah untuk memaafkan segala kesalahan yang hamba-Nya lakukan tanpa pengetahuan mereka  mengenai hal itu (jahil).

Natijahnya, tiada beza antara penayang filem tanpa mendapat keizinan dari para penerbit filem itu dengan para lanun cetak rompak terbabit di mana kedua-duanya memakan rezeki hasil dari titik peluh orang lain. Jika lanun cetak rompak seringkali dilihat sebagai mereka yang mengedar serta mengulang cetak VCD atau DVD filem secara haram, maka termasuk dalam kategori ini adalah para peniaga khususnya bagi para peniaga apa juga perkhidmatan yang memerlukan mereka menggunapakai sebarang bentuk perisian yang didapati dengan jalan cetak rompak bagi mengaut keuntungan. Maaf seandainya dikatakan, sebagai contoh seorang juruteknik komputer dikehendaki oleh pelanggannya untuk menawarkan khidmat meng-‘format’ komputer sekaligus disertai perkhidmatan menambah sebarang bentuk ‘software’ (perisian) sebagai ‘hadiah’ setelah pelanggan itu menggunakan perkhidmatan juruteknik itu di mana perisian-perisian tersebut didapati bukan dengan cara yang sah, tetapi melalui perisian cetak rompak yang dimuat turun dengan mudah daripada komputer atau menggunakan kaedah “crack” bagi sesetengan perisan yang perlu kepada kunci pendaftaran (registration key) atau kekunci CD (CD-Key).

Mungkin pembaca sekalian ada atau pernah menemui beberapa fatwa yang membolehkan bagi kita sebagai umat Islam membeli atau menggunapakai barangan cetak rompak yang dihasilkan dari Negara atau mana-mana badan yang berhasrat memerangi orang Islam atau secara mudahnya disebut ‘Kafir Harbi’ seperti Israel atau Amerika Syarikat. Pada pengamatan penulis, biarpun ternyata wujudnya fatwa yang demikian rupa, ianya tidaklah dapat dijadikan alasan bagi kita untuk sewenang-wenangnya mengaut keuntungan dengan jalan sebagaimana lanun cetak rompak itu tadi. Apa yang haram tetap haram. Kembali kepada kisah Robin Hood di atas, tanyakan diri anda bahawa adakah perbuatannya mencuri harta orang kaya bagi menampung keperluan orang miskin dianggap mulia dan Islam membenarkan perbuatan seumpama itu? Tentu sekali tidak kerana sebagaimana dimaklumi bahawa niat tidak menghalalkan cara. Walaupun dengan agama yang terang-terangan memerangi Islam, kita sebagai umat Islam disuruh berlaku adil walau terhadap mereka. Firman Allah di dalam surah Al-Maaidah ayat ke-2:

“…Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum kerana mereka menghalangi kamu dari Masjidilharam, mendorongmu berbuat aniaya (kepada mereka)…”
Begitu juga dengan ayat ke-8 dari surah sama yang menceritakan perihal keadilan:
“Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adil-lah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa.”

Dalam menafsirkan ayat pertama di atas, seorang ulama’ Tafsir terkenal iaitu Ibnu Kathir r.h menyatakan bagaimana Allah melarang umat Islam untuk tidak berlaku adil atau berlaku zalim terhadap segerombolan manusia penyembah berhala (Musyrikin) yang bukan penduduk asal Mekah yang datang melalui kawasan umat Islam untuk menuju ke Mekah. Kezaliman yang Allah maksudkan itu  adalah perbuatan umat Islam pada ketika itu yang menghalangi gerombolan Musyrikin itu untuk melalui kawasan tersebut menuju ke Mekah setelah mereka (umat Islam) dihalang untuk memasuki Mekah (Masjidil Haram) oleh penduduk asal kota Mekah yang juga terdiri dari orang Musyrikin. Ingin diringkaskan, mengapa pihak lain yang berlaku zalim kepada mereka, iaitu kaum Musyrikin Mekah, namun pihak lain iaitu Musyrikin yang bukan penduduk asal Mekah yang mendapat imbalan daripada perbuatan pihak pertama itu?

Justeru, amatlah wajar andai kerajaan atau pihak berwajib mengambil tindakan tegas dalam menangani masalah ini kerana ketahulah bahawa ianya bukan sekadar memburukkan imej negara di mata dunia, malah bakal menyebabkan kemurkaan Allah turun sebagaimana diturunkan azab seksa buat kaum Nabi Syu’aib a.s. akibat ramainya manusia yang memakan harta manusia lain dengan jalan batil yang sekaligus dapat meranapkan produktiviti akibat kekecewaan dan ketakutan dalam mencipta sesuatu karya baru. Wallahua’lam.

[1287 Patah Perkataan (TIDAK termasuk tajuk dan pernyataan ini)]

0 comments :

TULAR

PARUH PENGARANG

Pergi Ke Peta Laman

TEST

Like Us

Powered by Blogger.
AGAMA

Followers

DIARY MEMORY

PAPARAN Lebih Banyak » PENDAPAT
PAPARAN Lebih Banyak » DIARI

Company

BERITA

Legal Stuff

PARUH PENGARANG

FAQ's

Blogroll

© 2016 Inteleaks. Dirangka oleh Zulsyamini. Powered by Blogger.